Syahid Selepas Mengucapkan Syahadah

Posted by Megat Fauzi Mohamad | 2:28 AM



Suatu ketika tatkala Rasulullah s.a.w. sedang bersiap di medan perang Uhud, tiba-tiba terjadi hal yang tidak terduga. Seorang lelaki yang bernama Amar bin Thabit telah datang menemui Baginda s.a.w.. Dia rupanya ingin memeluk agama Islam dan mahu ikut berperang bersama Rasulullah s.a.w. Amar ini berasal dari Bani Asyahali. Hampir keseluruhan kaumnya ketika itu sudah memeluk agama Islam setelah peristiwa keIslaman tokoh yang terkenal Saad bin Muaz. Meskipun begitu, Amar masih enggan mengikut jalan yang dipilih oleh kebanyakan ahli kaumnya. Keangkuhan jahiliyyah masih menonjol dalam jiwanya, walaupun beliau merupakan seorang yang baik dalam pergaulan. Waktu kaumnya menyeru beliau kepada Islam, beliau dengan pantas menjawab, "Kalau aku tahu kebenaran yang kamu kemukakan itu sudah pasti aku tidak akan mengikutnya." Demikian angkuhnya Amar.

Kaum Muslimin di Madinah pun mengetahui bagaimana keanehan Amar di tengah-tengah kaumnya yang sudah memeluk Islam. Beliau hidup terasing bersendirian, hatinya sudah tertutup untuk menerima cahaya Islam yang terang benderang. Dalam saat semua orang sedang bersiap-sedia untuk menuju ke medan perang, Amar segera menemui Rasulullah s.a.w., menyatakan beliau mahu memeluk agama Islam malah akan turut berperang bersama seluruh kaum Muslimin di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w.. Pedangnya yang tajam turut dibawanya bersama.

Rasulullah s.a.w. menyambut kedatangan Amar dengan perasaan sungguh gembira, tambahan pula Amar turut berhasrat untuk menuju ke medan perang jihad bersama Nabi Muhammad s.a.w.. Kebanyakan kaum Muslimin tidak mengetahui peristiwa ini, kerana masing-masing sibuk menyiapkan bekalan peperangan. Di kalangan kaum Amar juga tidak ramai mengetahui keIslamannya. Amar tidak mempedulikan semua itu, malah terus maju sebagai mujahid di medan perang jihad. Dalam medan peperangan Uhud yang hebat itu Amar memperlihatkan keberaniannya yang cukup luar biasa. Berkali-kali pedang musuh mengenai dirinya, tidak dipedulikan, bahkan dia terus maju sampai saatnya dia jatuh pengsan.

"Untuk apa kamu ikut ke mari ya Amar?" Demikian pertanyaan kaum Muslimin yang hairan melihatnya, sebab mereka menyangkakan dia masih seorang musyrik. Mereka fikir Amar masih belum Islam malah menurut sahaja tindakan orang ramai. Dalam keadaan antara hidup dan mati itu Amar lalu berkata, "Aku sudah beriman kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, lalu aku siapkan pedangku dan maju ke medan perang. Allah s.w.t. akan memberikan syahid padaku dalam waktu yang tidak lama lagi." Amar meninggal. Rohnya mengadap ke hadrat Illahi sebagai pahlawan syahid. Waktu hal ini sampai ke perkhabaran Rasulullah s.a.w., maka Baginda s.a.w. pun bersabda,: "Amar akan berada dalam syurga nantinya." Dan kaum Muslimin pun mengetahui perihal akhir hayat Amar dengan penuh takjub, sebab ianya sama sekali di luar dugaan mereka. Malah Abu Hurairah r.a sahabat yang banyak mengetahui hadith Rasulullah s.a.w. berkata kepada kaum Muslimin, "Cuba kamu kemukakan kepadaku seorang yang masuk syurga sedang dia tidak pernah bersyariat sekalipun juga terhadap Allah s.w.t.."

"Jika kamu tidak tahu orangnya." Kata Abu Hurairah r.a lagi, lalu ia pun menyambung,  "Maka baiklah aku beritahu kamu, itulah dia Amar bin Thabit." Demikianlah kisah seorang yang ajaib, masuk syurga demikian indahnya. Ia tidak pernah solat, puasa dan lain-lainnya seperti para sahabat yang lain, sebab dia belum memeluk Islam. Tiba-tiba melihat persiapan perang jihad yang hebat itu, hatinya tergerak memeluk Islam sehingga beliau menemui Rasulullah s.a.w.. Beliau menjadi Muslim, lalu terus menuju ke medan perang, sebagai mujahid yang sungguh berani. Akhirny beliau  tewas di medan perang tetapi menang dengan mendapat syahadah iaitu pengakuan sebagai orang yang syahid, mati membela agama Allah s.w.t. di medan perang. Maka syurgalah tempat bagi orang yang memiliki julukan syahid.

0 comments